Coretan buat ibu mertuaku.
12 Ogos 2026 | Rabu | 9.10 malam Ada pertemuan yang kita sangka biasa-biasa sahaja, rupa-rupanya itulah pertemuan terakhir. Seminggu sebelum pemergian Mak, kami pulang menziarahi Mak dan Abah di Semenyih. Kebetulan ketika itu kami ke Selangor untuk menjemput anak kami di USIM. Maka sempatlah kami singgah bertemu Mak, kira-kira lima hari sebelum Mak menghembuskan nafas terakhir. Ketika itu tidak pernah terlintas di hati kami bahawa itulah kali terakhir kami dapat melihat wajah Mak, berbual dan bergurau seperti biasa. Mak ada menyatakan hasratnya untuk datang ke Perlis. “Insya-Allah Mak memang nak pergi Perlis. Dah lama rasa tak ke Perlis. Cik Ton pun nak ikut juga.” Cik Ton, sahabat baik Mak yang juga bisan Mak, tinggal satu taman dengan Mak. Hasrat itu disebut seperti biasa. Kami pun menyambutnya seperti biasa. Tidak ada siapa menyangka bahawa kata-kata itu akan menjadi satu kenangan yang akan kami simpan sampai bila-bila. Mak juga bersungguh-sungguh mahu membuat pulut durian untuk say...





