Antara ilmu dan sijil.
"..عليك أن تسعى، وليس عليك إدراك النجاح.."
Menjadi kewajipan mu untuk berusaha, dan bukan (menjadi) kewajipan mu menentukan kejayaan.
HARI INI murid² darjah 6 seluruh negara mula menduduki peperiksaan UPSR. Suatu ujian penanda aras bagi murid sekolah rendah sebelum ke sekolah menengah.
Rata-rata ibubapa dan warga guru ada perasaan cemas seandainya keputusan yang bakal dipaparkan nanti menunjukkan kegagalan. Ia ibarat penentu masa depan anak-anak sedangkan sijil yang ada itu tidak mampu memberikan peluang pekerjaan pun. Demikianlah betapa emosinya UPSR ini.
Persekitaran pembelajaran hari ni sangat berbeza berbanding tahun 1991. Ketika itu, saya tidak memahami sejauh mana pentingnya ujian ini. Mungkin kerana bersekolah di tempat yang tidak menyediakan peperiksaan awam UPSR.
Apa yang saya tahu di usia itu hanyalah setiap kali pulang ke kampung, ada budaya kurang sihat berputar dikalangan orang kampung dan saudara mara. Budaya membandingkan sekolah dan sijil sebagai penentu masa depan.
Soalan-soalan sinis cuba ditimbulkan untuk menanam keraguan diminda betapa mama dan abah 'telah salah' memilih institusi pendidikan kerana ia tiada jaminan masa hadapan berbanding bersekolah di sekolah milik penuh kerajaan.
Antara soalan-soalan racun itu seperti,
• UPSR TAKDAK, BESAQ NANTI NAK GHEJA APA?
• NAK JAMU ANAK BINI MAKAN APA?
• NAK BANTU KELUARGA MACAM MANA?
• KALAU TERPEJAM (mati) MATA MAK ABAH SAPA NAK BANTU JAGA ADIK-ADIK?
Walaupun agak bingung memikir, menghadam dan menelaah semua soalan tadi yang pada hakikatnya tiada jawapan pun sebenarnya. Namun 'jarum keraguan' dah berjaya masuk dan membentuk satu pemikiran. Iaitu aku sedang bersekolah yang tiada masa depan.
Sesekali tertanya juga, apa tujuan soalan-soalan itu dilontarkan kepada budak yang berusia 10/11 tahun ni? Mengapa tidak soalan itu dilontarkan kepada mama dan abah sahaja? Pasti mereka insan yang ada justifikasi jawapan menyekolahkan anak-anak mereka tidak di arus perdana negara.
Persoalan yang tak terjawab itu menjadikan saya nekad untuk mencari jawapan balas.
Selain mama dan abah yang banyak membantu merungkaikan perang-saraf td, saya berkongsi juga kisah dengan Murabbi saya Syeikh Abdul Majid Abu Bakar (almarhum). Beliau ibarat ayah di sekolah ketika itu. Guru yang senang didampingi dan berkongsi cerita. Beliau banyak menenangkan saya dan menyediakan beberapa jawapan (alternatif) mampu memuaskan saya untuk penghujahan balas. Semoga Allah merahmati guru saya ini.
Alhamdulillah, hari ini saya masih mempunyai ibu dan ayah (kandung & mertua), isteri, anak², adik², ipar duai, rakan² yang melihat sendiri ketentuan Allah kepada saya. (Rezki) Esok atau lusa menjadi rahsianya. Hanya Allah Ar-Razzaq yang tahu.
Mereka merupakan insan penting dalam hidup saya. Anak² yang dikurniakan dapat saya berikan perlindungan, persekolahan, makan minum, pakaian seperti anak² lain. Syukur dan syukur alhamdulillah.
Justeru, setiap kali peperiksaan ini berjalan, perasaan ini terimbau. Terimbau bukan merendah² kan peperiksaan ini, tetapi terimbau dengan sikap makhluk yang (kebanyakannya) mengambil alih tugas Allah Ar-Razzaq.
Pesan buat anak²ku.
"Belajarlah dan teruslah belajar. Usah difikir siapakah majikannmu nanti, berapakah gajimu, siapakah isteri atau suamimu, berkereta dan berumah jenis apakah nanti. Serahkan urusan itu pada NYA. DIA lah ALLAH MAHA PENGASIH, MAHA PENYAYANG, MAHA PENGATUR URUSAN, kerana menjadi kewajipan mu untuk berusaha, dan bukan kewajipan mu menentukan kejayaan ".
Abul Faruq
Asrama SK Chuping
05 - 09 - 2016
Ulasan
Catat Ulasan