Bercuti bersama Abah !
HARI ni 16 September 2025. Kami membawa abah bercuti di Yanies Rest House, Pauh Perlis. Syukur semua yang dirancang berjalan lancar. Bermula dengan memujuk abah untuk bersetuju bercuti bersama kami hinggalah akhirnya abah dapat check-in bilik dan merehatkan tubuhnya buat seketika dibilik Sakura 303.
" . . . ni bukan tempat orang sakit ni. Orang sakit tak sesuai. Orang sihat sesuai la mai tempat macam ni".
Abah cuba meluahkan perasaan kurang seronoknya spontan tatkala abah dah berada dalam biliknya. Kami faham perasaan itu. Yeelah . . . andai diberi pilihan berada dirumah dengan katil dan bantal sendiri dan rutin harian semestinya berada dirumah jauh lebih selesa dari bercuti ditempat baharu.
Namun keputusan ini kami buat dan ambil risiko jugak demi nak memberikan abah nafas baru semangat baru disamping melihat dunia luar, mendengar desiran air, melihat hijaunya persekitaran sekeliling dan menikmati udara segar diluar. Itu cerita mula-mula check-in.
Mai waktu petang mood abah nampak semakin ok. Setelah merebahkan badannya hampir 2 jam, tidur pun kelihatan nyenyak jugak.
" . . . Hafiz tolong pi cari roti kat abah. Rasa macam lapaq pulak. Area ni ada kedai kan".
BOLEH ABAH. ABAH NAK MINUM TEH TARIK ATAU TEA O LIMAU?
" Teh O Limau lah. Malam ni kita pi semayang di masjiid na ".
ELOAK SANGAT ABAH. KITA TUNGGU ISYA' LEPAS TU KITA PI KOLA PEGHELIH, BOLEH?
Alhamdulillah. Abah angguk sambil senyum! Itu tandanya semuanya dah kembali ok.
Abah memang suka ke Kuala Perlis makan ikan bakar. Tapi tak semua kedai boleh timpa masuk. Tak kena dengan selera dia. Kedai yang paling dia suka Nyiru Klasik. Tak tau lah apa istimewanya berbanding yang lain pada abah.
Apa yang kami perasan, abah tertarik sebab pelayan-pelayan disitu suka menyantuninya, menyapanya, bertanya khabar tentangnya, sesekali berjenaka dengan nya. Kami follow ja tang mana abah suka. Kami pun tumpang seronok juga dengan layanan mereka terhadapnya.
"MINTAK MAAF BANYAK-BANYAK ABAH NA. JANGAN LUPA BACA 'ALLAHU LAA' (ayat kursi)".
Setelah selimut abah ditutup rapi dan sebelum melelapkan mata, itulah rutin yang saya selalu pesan ditelinganya selain mohon kemaafan andai abah ada terasa hati dengan saya ketika mengurusnya. Walaupun ada kalanya nampak abah macam tak seronok dengan keputusan yang dibuat untuknya. Itu semua adalah asam garam pahit manis mengurus orang sakit.
Sabar.
Redho.
Hari kedua abah agak lama berada ditepi kolam melihat cucu-cucunya berenang dalam kolam. Sesekali nampak dia tersenyum. Saya melihat gelagat abah dari jauh. Sedar tak sedar roti canai garing dan teh tarik segelas penuh 'calat'. Kebiasaanya roti canai memang tak habis. Pagi ni ternyata berbeza. Alhamdulillah. Apabila hidangan tidak meninggalkan sisa atau lebihan itu petanda kena dengan seleranya. Sesekali teringat pula kepada arwah Mama yang makan sebelah abah. Tolong susunkan tisu ditepi cawan dan potong-potongkan ikan atau ayam dalam pinggan abah. Semoga Allah mengampuni dan merahmati almarhumah Mama.
Semoga Allah sembuhkan abah. Pulihkan ingatannya yang semakin pudar. Paling penting dilimpahkan kegembiraan, keseronokan dan kesabaran bersama anak-anak dan cucu-cucunya.
16 dan 17 September 2025
Yanies Rest House, Pauh.
Ulasan
Catat Ulasan