Coretan buat ibu mertuaku.
Ada pertemuan yang kita sangka biasa-biasa sahaja, rupa-rupanya itulah pertemuan terakhir.
Seminggu sebelum pemergian Mak, kami pulang menziarahi Mak dan Abah di Semenyih. Kebetulan ketika itu kami ke Selangor untuk menjemput anak kami di USIM. Maka sempatlah kami singgah bertemu Mak, kira-kira lima hari sebelum Mak menghembuskan nafas terakhir.
Ketika itu tidak pernah terlintas di hati kami bahawa itulah kali terakhir kami dapat melihat wajah Mak, berbual dan bergurau seperti biasa.
Mak ada menyatakan hasratnya untuk datang ke Perlis.
“Insya-Allah Mak memang nak pergi Perlis. Dah lama rasa tak ke Perlis. Cik Ton pun nak ikut juga.”
Cik Ton, sahabat baik Mak yang juga bisan Mak, tinggal satu taman dengan Mak.
Hasrat itu disebut seperti biasa. Kami pun menyambutnya seperti biasa.
Tidak ada siapa menyangka bahawa kata-kata itu akan menjadi satu kenangan yang akan kami simpan sampai bila-bila.
Mak juga bersungguh-sungguh mahu membuat pulut durian untuk saya dan anak-anak. Mak tahu kami memang suka makan pulut durian yang dimasak bersama santan. Mak bercakap tentangnya dengan penuh semangat seperti selalu.
Kini apabila mengingatinya, hati terasa sayu.
Pulut durian itu tidak sempat Mak buat.
Perjalanan ke Perlis yang Mak rancangkan juga tidak sempat berlaku.
Sebaliknya, kami yang berada di Perlis akhirnya terpaksa bergegas pulang ke Semenyih untuk mengiringi perjalanan terakhir Mak.
⸻
Dua hari sebelum Rabu itu, Abah mula melihat perubahan pada Mak. Mak banyak berbaring dan tidak banyak bercakap seperti kebiasaannya.
Namun pada pagi Rabu, selepas solat Subuh, keadaan Mak semakin lemah.
Abah memapah Mak masuk ke dalam kereta untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Semenyih.
Dalam perjalanan, ketika kereta melalui hadapan Surau Ittihad, Abah menyedari kedudukan Mak di kerusi semakin melungsur ke bawah. Mata Mak kelihatan sudah menaik ke atas dan kaki Mak pula kelihatan kaku.
Abah memanggil Mak berkali-kali, mengharapkan ada jawapan.
Namun Mak sudah tidak memberikan sebarang respons.
Setibanya di Klinik Kesihatan Semenyih, Mak masih tidak memberikan tindak balas. Bantuan pernafasan diberikan dan ketika itu ada sedikit harapan apabila nadi Mak mula kembali memberi respons.
Mak kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kajang.
Mak masih tidak sedarkan diri, namun nadi masih ada dengan bantuan oksigen.
Selepas pemeriksaan dan diagnosis dilakukan, doktor memaklumkan bahawa Mak menghidap denggi yang berbahaya.
Doktor dan pasukan perubatan berusaha sedaya upaya menyelamatkan Mak. Darah dan ubat-ubatan diberikan.
Kami anak-anak masih belum mengetahui sepenuhnya apa yang sedang berlaku.
Sehinggalah sekitar jam 12.20 tengah hari, satu mesej daripada Abah muncul dalam kumpulan WhatsApp keluarga.
Keadaan Mak kritikal.
Ketika itulah dunia kami seakan-akan terhenti seketika.
Anak-anak yang berada di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur bergegas meninggalkan tempat kerja masing-masing untuk menuju ke hospital.
Kami yang berada jauh di Perlis pula mula menguruskan perjalanan pulang.
Mujurlah anak sulung kami, Hilyatul Husna, ketika itu sedang bercuti dan berada di rumah.
Dalam keadaan tergesa-gesa saya berkata kepadanya:
“Kakak, tolong capai baju adik-adik seboleh yang mungkin. Kita kena balik Semenyih. Opah kritikal.”
Kakak yang baru terjaga daripada tidur terus bangun dan membantu tanpa banyak soal.
Tidak lama kemudian, satu panggilan masuk.
Doktor memaklumkan bahawa keadaan Mak sangat kritikal.
Prosedur demi prosedur telah dilakukan oleh pihak hospital, namun perkembangannya kelihatan sangat perlahan.
Kemudian kami menerima berita yang benar-benar menggetarkan hati.
Doktor memaklumkan bahawa berdasarkan keadaan Mak ketika itu, paling lama Mak mungkin hanya mampu bertahan sehingga malam tersebut.
Ya Allah…
Beratnya berita itu.
Seolah-olah satu panahan petir menerobos dada.
Namun kami tetap berharap.
Kami tetap berdoa.
Kerana Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
⸻
Urusan mengambil Hanan dan Faieq dari SRI Al-Furqan serta Faruq dan Faqeeh dari SMKA Arau selesai sekitar jam 4 petang.
Kami terus meluncur pulang ke Semenyih.
Sepanjang perjalanan, isteri saya tidak berhenti menangis.
Saya hanya mampu memujuknya.
“Teruskan berdoa.”
“Insya-Allah ada keajaiban.”
Sesekali kami membuka WhatsApp keluarga untuk mendapatkan perkembangan terkini.
Ada ketika berita yang diterima memberi sedikit harapan.
Tidak lama kemudian, berita lain pula sampai dan keadaan kembali merosot.
Begitulah kami sepanjang perjalanan.
Berharap.
Berdoa.
Menangis.
Kemudian berharap lagi.
Akhirnya, sekitar jam 9.20 malam, ketika kami baru memasuki kawasan Rawang, satu makluman masuk ke WhatsApp keluarga.
Mak sudah tiada.
Saya memberhentikan kenderaan di hentian sebelah.
Isteri saya semakin kuat esak tangisnya.
Dan pada saat itu, kami terpaksa menerima hakikat yang paling berat.
Mak telah pergi menghadap Allah SWT.
⸻
Dari Rawang, kami meneruskan perjalanan menuju ke Semenyih.
Abah dan adik-adik masih berada di Hospital Kajang menguruskan jenazah Mak untuk dibawa pulang.
Kami diminta terus ke rumah bagi membantu persiapan menyambut ketibaan jenazah dan para tetamu.
Sekitar jam 11 malam, ambulans tiba.
Dan ketika itulah kami melihat sendiri hakikat yang selama perjalanan tadi kami cuba terima dalam hati.
Mak sudah tiada.
Tiada lagi suara Mak.
Tiada lagi senyuman Mak.
Tiada lagi peluang untuk kami berkata,
“Mak, kami dah sampai.”
⸻
Dalam kesedihan kami semua, tentu sekali orang yang paling dalam merasai kehilangan itu ialah Abah.
Hampir 50 tahun Abah dan Mak membina bahtera rumah tangga bersama.
Daripada sebuah rumah tangga, Allah mengurniakan mereka tujuh orang cahaya mata.
Begitu banyak kenangan yang telah tercipta.
Begitu banyak suka dan duka yang telah dilalui bersama.
Dan malam itu, buat pertama kalinya selepas hampir lima dekad, Abah terpaksa melalui malam tanpa Mak di sisi.
⸻
Keesokan paginya, sekitar jam 8.00 pagi, jenazah Mak dibawa ke Masjid Raja Muda Musa, Semenyih.
Di sanalah urusan memandikan dan mengkafankan jenazah dilaksanakan.
Satu perkara yang sangat menyentuh hati kami ialah semua anak-anak Mak turut terlibat dalam urusan memandikan dan mengkafankan jenazah ibu mereka sendiri.
Tangan-tangan yang suatu ketika dahulu pernah dipimpin dan dibesarkan oleh Mak, kini menguruskan perjalanan terakhir seorang ibu yang telah mengorbankan seluruh hidupnya untuk keluarga.
Sekitar jam 10.00 pagi, solat jenazah dilaksanakan.
Anak lelaki sulung Mak, Mohd Azrin, diberi penghormatan untuk mengimamkan solat jenazah ibunya sendiri.
Betapa berat hati seorang anak berdiri di hadapan saf untuk mengimamkan solat buat insan yang telah melahirkannya, membesarkannya dan menyayanginya sejak kecil.
Setiap takbir terasa begitu bermakna.
Setiap doa terasa begitu dekat dengan hati.
Ramai sungguh yang hadir memenuhi ruang masjid.
Ada saudara-mara.
Ada jiran tetangga.
Ada sahabat dan kenalan.
Mereka datang bukan kerana Mak seorang tokoh atau mempunyai kedudukan tertentu.
Mak hanyalah seorang suri rumah.
Namun pagi itu, begitu ramai manusia hadir untuk mendoakannya.
Ketika melihat saf-saf yang memenuhi ruang masjid, terlintas dalam hati kami bahawa kehidupan seseorang tidak diukur dengan jawatan atau pangkatnya.
Ada manusia yang hidup sederhana, tetapi meninggalkan kesan yang besar dalam hati orang lain.
Dan mungkin itulah Mak.
______
Selesai solat jenazah, kami membawa Mak ke Tanah Perkuburan Islam Sungai Lalang, Semenyih.
Di situlah perjalanan dunia Mak berakhir.
Saat jasad Mak diletakkan ke dalam liang lahad, hati kami kembali tersentak dengan satu hakikat.
Hari ini kita menghantar orang yang kita sayang.
Esok, mungkin orang lain pula yang akan menghantar kita.
Sekitar jam 12.30 tengah hari, segala urusan pengebumian selesai.
Namun urusan hati kami belum selesai.
Rumah masih didatangi saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat yang datang menziarahi serta menyampaikan ucapan takziah.
Dalam ramai-ramai yang datang, tetap terasa satu kehilangan yang tidak mampu diisi oleh sesiapa.
Mak sudah tiada.
Yang tinggal hanyalah kenangan.
Kenangan tentang seorang ibu.
Seorang isteri.
Seorang nenek.
Dan bagi saya sendiri, kenangan tentang seorang ibu mertua yang menerima saya sebagai sebahagian daripada keluarganya.
_________
Mak…
Lima hari sebelum Mak pergi, kami masih sempat melihat Mak.
Mak masih bercerita tentang mahu datang ke Perlis.
Mak masih teringin membuat pulut durian untuk saya dan anak-anak.
Mak masih menyimpan rancangan-rancangan kecil untuk hari-hari yang akan datang.
Namun Allah telah menentukan perjalanan yang lain.
Mak tidak jadi datang ke Perlis.
Sebaliknya, kami yang berada di Perlis bergegas pulang untuk mengiringi perjalanan terakhir Mak.
Kami tidak sempat bertemu Mak dalam keadaan sedar.
Tetapi kami tidak akan pernah terlambat untuk mendoakan Mak.
Ya Allah, ampunilah dosa-dosa Mak.
Rahmatilah dia dengan rahmat-Mu yang luas.
Luaskan dan terangilah kuburnya.
Jadikanlah kuburnya salah satu taman daripada taman-taman syurga.
Berikanlah kekuatan kepada Abah yang kini meneruskan kehidupan tanpa teman yang telah bersamanya hampir 50 tahun.
Dan satukanlah kami kembali bersama Mak di syurga-Mu yang abadi.
Al-Fatihah buat arwah Mak.
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
آمين يا رب العالمين.
Remaja Purba
Taman Tasik Semenyih.




Ulasan
Catat Ulasan