Selamat Bersara Cikgu Elias Mohd Sharif !

Cikgu Elias bin Mohd Sharif dilahirkan pada tanggal 17 Februari 1965, bertempat di Kg Abi Alor Kabong, Mukim Abi, Perlis. Beliau yang merupakan anak sulung daripada 5 adik beradik ini menjadi tambatan hati pasangan bahagia En Mohd Sharif bin Abidin dan Pn Ramlah  binti Mohamad.

Mendapat pendidikan awalnya di SK Kampong Salang, Perlis seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Syed Hassan sehingga tingkatan lima. Beliau juga berkesempatan meneruskan pengajian dalam kursus Pra Kejuruteraan di Institut Teknologi Mara, Arau Perlis selama hampir setahun.

 

Lantaran minat yang mendalam dalam bidang perguruan beliau seterusnya menyambung pengajian di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah dalam bidang Pengajian Melayu sekitar tahun 1986.


Bermula dari sini, beliau mula melangkah dengan lebih yakin dan berani untuk menempuhi segala dugaan dan ujian dalam arena pendidikan yang penuh mencabar serta menimba ilmu dalam bidang pendidikan dengan penuh ketekunan.

 

Hadirin sekalian,

Dari sudut perkhidmatan, beliau memulakan tugas sebagai seorang pendidik di SK Slow Temiang, Manek Urai, Kelantan pada 1 Mac 1989. Setelah 6 tahun menabur bakti  di sana, beliau kembali bertugas di Perlis iaitu di SK Kampong Salang.


Beliau juga pernah berkhidmat di SRJKC Khoon Aik Kangar , selama  2 tahun, SK Sena 8 tahun, SK Seri Perlis 7 tahun dan SK Stella Maris selama 1 tahun.  

Setelah itu, beliau telah bertukar  ke SK Chuping bermula  1 Mac 2017 sehingga kini. Hampir 8 tahun, beliau menyemai budi dan jasanya di SK Chuping ini.

 

Pada 17 Februari 2025 nanti, genaplah 36 tahun 1 bulan 17 hari beliau berkecimpung dalam dunia pendidikan. Beliau akhirnya bersara secara wajib pada usia 60 tahun. Prinsip hidupnya, sentiasa redha dengan segala ketentuan ujian dan juga sentiasa bersyukur dengan nikmat dari illahi. Kerana itu, terzahirlah seorang insan yang bersemangat, ceria dan berdedikasi dalam mendidik anak bangsa sehingga berjaya. Beliau merupakan seorang yang tegas dan disegani oleh anak-anak muridnya. Namun disebalik ketegasannya, beliau disenangi kerana sifatnya yang ramah dan mengambil berat hal kebajikan dan pencapaian anak-anak didiknya.

 

Tanggal 21 Januari 2021 temetrailah ikatan hati pasangan sejoli En  Elias Mohd Sharif bersama pujaan hatinya Pn Noraini bt Hashim. Kini Cg Elias meniti hari-hari bahagia bersama isterinya. Beliau juga dianugerahkan 4 orang cahaya mata, iaitu 2 orang putera dan 2 orang puteri. Masing- masing telah berjaya dalam bidang yang diceburi. Alhamdulillah, benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau. Kini beliau telah pun mempunyai 2 orang cucu.


Kecintaan beliau terhadap kehijauan alam menyuburkan minatnya untuk menguruskan kebun tebu miliknya. Diwaktu lapang, beliau gemar menonton siaran langsung sukan badminton dan bola sepak.


Beliau sangat dihormati dan disenangi oleh warga SK Chuping ini, tiada ganti dan pasti akan dirindui. Sudah pasti kami disini akan mengingati Cg Elias sebagai seorang yang ceria, ringan tulang, pemurah dan baik hati. Patah tumbuh hilang berganti, namun tak sama dengan yang pergi.  

 

Selamat tinggal suara-suara ceria,

Padang perhimpunan dan dewan perkasa,

Bilik darjah dan  keletah anak-anak,

Bilik guru dan timbunan buku.

Selamat tinggal anak-anak didik semua

 

Tinggi bukit gilang-gemilang, 

Air laut tenang-tenangan, 

Budi sedikit tidakkan hilang, 

Ia menjadi kenang-kenangan. 

 

 (Kredit : Teacher Haziera Bt Othman).

Ulasan

Catatan Popular