Disebalik SAMBUTAN HARI GURU
SETIAP kali sambutan HARI GURU saya sering terimbau kisah (sekitar 2007 atau 2008) seorang Pakcik yang berkongsi rasa perihal betapa peritnya memenuhi kemahuan anak-anak untuk belikan sesuatu kepada cikgu-cikgu nya. Sambil begenang air mata beliau mengakui cikgu-cikgu tak pernah minta pun diberikan hadiah.
" Kita tak beli, satgi dia menyebai, kawan-kawan dia pakat bagi. Kita pun bukannya gaji besaq tapi main dengan anak-anak mintak ni jadi nak kena pesoh jugaklah. Bayangkan kalau anak dua tiga ". ujarnya.
Saya yang mendengar luahan itu cuba menyembunyikan identiti saya seorang guru untuk memahami sedalamnya.
Betul . . !
Cara fikir anak-anak di sekolah tak sama. Isu yang berlegar seputar mereka sangat rencam.
Rencam hingga tak mampu nak hadam. Namun itulah realiti sesama mereka di sekolah.
Kita mungkin boleh kata " . . . alaa takyah dok bekigha sangat dengan cikgu. Mampu bagi, tak mampu takyah bagi".
"Bukan wajib pun. Depa (cikgu) bukan mintak pun".
Dari sudut yang lain ada murid 'ponteng sekolah' kerana 'malu'. Malu tak ada hadiah untuk cikgu. Malu tak ada pakaian yang sama dengan kawan sekelas. Malu tak mampu bawa juadah/kueh jamuan kelas atau jamuan hari raya. Hal ini mereka pendamkan dari pengetahuan ibu bapa.
Bukan mereka tak mahu meminta ibu bapa sediakan semua itu tetapi sebahagian mereka 'faham' krisis kewangan yang melanda keluarganya dan demi untuk tidak membebankan ibu bapanya, mereka pendamkan sahaja.
Mesti (sebahagian) ibu bapa tak percaya kan !
Itulah realiti yang menghantui sebahagian murid.
Murid yang datang dari keluarga 'susah/kurang berada' cepat belajar dengan kehidupan. Mata mereka memandang. Hati mereka memikir. Naluri mereka halus. Perasaan mereka mudah tersentuh. Dalam keriuhan kegembiraan sambutan, ada guru dapat mengecam murid manakah yang tidak hadir. Bahkan dapat menebak sebab ketidak hadiran mereka.
Demikanlah perasaan ini muncul setiap kali sambutan Hari Guru di sekolah. Apatah lagi saat menerima hadiah dari murid-murid. Nilai satu-satu barang (hari ini) bukannya seringgit lagi. Kedai dua ringgit pun jadi dua plus-plus dah. Belum lagi cerita mug, botol air, taperwey, potpuri bagai. Nilainya boleh jadi lagi mahal.
Guru tidak pernah meminta. Jauh sekali untuk berharap. Jika ingin memberi juga, janganlah hingga terbeban. Doa yang tulus mendoakan kesejahteraan cikgu-cikgu jauh lebih bernilai dari segala-galanya.
SELAMAT HARI GURU buat semua warga pendidik.
Titipkanlah doa kesejahteraan dan keafiatan buat guru-guru kita yang masih hidup, jua doakanlah keampunan dan kerahmatan buat yang telah menghadap ilahi. Semoga perit jerih mereka berbakti mendidik anak bangsa 'tulis dan baca' menjadi sumber pahala yang tidak pernah putus buat mereka di sana.
“Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI”
Abul Faruq
16 Mei 2024
Sempering City
Like👍
BalasPadam