Pasukan sepak takraw SKC 2025
Cerita pasukan sepak takraw kami 2025.
Diundi dalam kumpulan P bersama SK Sena, SK Jejawi dan SK Titi Tok Bandar. SKC memulakan cabaran petang ini bertemu SKJ.
Langkah permulaan yang sedikit gugup ditambah lagi suasana kejohanan yang luar biasa adalah antara faktor utama SKC ketinggalan dan tewas pada permulaannya. Sekalipun tewas, SKC memberi tentangan dan tekanan yang luar biasa kepada pasukan lawan. Perlawanan yang mengambil masa 30 minit itu akhirnya berkesudahan 15-10 dan 15-6.
Perlawanan kedua menentang SK Titi Tok Bandar. Semangat SKC luar biasa. Belajar dari kegugupan perlawanan sulong, SKC bangkit menerkam pasukan lawan dengan kemenangan bergaya 15-10 dan 15-9. Kemenangan ini penting bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan diri para pemain.
Semangat mereka kembali kuat, ibarat pulih dari luka lama bersedia berjuang untuk melengkapkan misi ke peringkat seterusnya.
Namun kita sedar, menentang pasukan SK Sena bukanlah jalan yang mudah. Statistik kejohanan menunjukkan dua pasukan sebelumnya (SKJ & SKTTTB) dimenangi mereka untuk lebih dahulu memegang 6 mata berbanding pasukan lain masing-masing hanya berkongsi 3 mata. Walau bagaimanapun itu hanya statistik kejohanan yang belum berakhir.
'Lain padang lain belalangnya, lain pasukan lain ragamnya' SKC memasuki gelanggang penentu dengan langkah bergaya mendahului mata demi mata sekalipun diekori rapat pasukan SK Sena yang akhirnya kita menumpaskan mereka 15-13.
Suasana semakin memuncak. Ramai penonton tertumpu ke gelanggang D. Kali ini pemain SKC berdepan tekanan yang tak mampu diserap. Ada permainan emosi berlaku sehingga memaksa pasukan kita dirombak untuk bertahan dan mengheret perlawanan ke 'tiebreak'. Set kedua tewas 6-15.
Kali ini suhu kejohanan semakin memuncak. Hanya perlawanan di gelanggang D sahaja yang masih berlangsung. Tekanan kian dirasai. Para penonton dan penyokong turut bersorak kali ini. Suara umpire memulakan perlawanan pun tidak jelas kedengaran.
SKC ketinggalan 3 mata pertama. Namun ketenangan para pemain menepis provok pihak lawan menjadikan SKC mengejar mata demi mata yang akhirnya dihadapan mendahului dengan selesa 10-6.
Diluar gelanggang, suhu semakin memuncak. Sorakan semakin kuat bergema. Teriakan semangat para pemain kedua pasukan tak pernah reda. Apatah lagi ada jiwa diluar gelanggang mengharapkan salah satu pasukan ini tewas bagi memudahkan laluan pasukan mereka ke peringkat berikutnya.
Perasaan ini timbul kerana di gelanggang sebelahnya SKJ telah pun menang dengan SKTTTB menjadikan mereka juga mengumpul 6 mata. Andai SKC menang pastinya peluang kembali terbuka apabila 3 pasukan berkongsi 6 mata.
"9-12" suara umpire memecah suasana. Mata demi mata dipungut secara seimbang dari bola servis kedua-dua pasukan yang akhirnya SKC mengungguli perlawanan 15-10.
Puas !
Yess !
Kepuasan ini hadir kerana SKC adalah satu-satunya pasukan yang menewaskan SK Sena. Sekalipun kami sedar, risiko untuk tidak layak ke peringkat seterusnya itu ada dek kerana berkongsi 6 mata bersama SK Sena dan SK Jejawi sebelum ditentukan oleh undang-undang kejohanan. Namun hal itu tidak penting lagi. Memenangi perlawanan adalah jauh lebih penting !.
Andai undang-undang memutuskan 'tidak layak' sekalipun, keputusan itu bermaruah. Bermaruah kerana ditentukan undang-undang kejohanan, bukanlah SKC terlalu naif dipentas kejohanan.
TERIMA KASIH semua. Terima kasih atas semangat dan kerjasama yang diberikan. Kalian semua insan yang hebat!
Rabu 23 Julai 2025
Dewan Serbaguna
Stadium Utama Kangar
Dalam gambar berdiri paling kanan: Cg Fadzli (PK KO) Abul Faruq (Pembantu Jurulatih), Cg Masri (Ketua Jurulatih) dan Cg Mohd Shah (Pengurus Pasukan).
Manakala murid dari kanan : Ammarluddin, Aqil Tashrin, Mohd Firas, Mohd Amsyar dan Aniq.
Ulasan
Catat Ulasan