Persaraan Kak Sally!



Menjunjung kasih buat yang diraikan,izinkan saya membacakan serba sedikit coretan berkaitan yang diraikan Cg Salina bt Hashim.


Cikgu Salina binti Hashim dilahirkan pada tanggal 2 Januari 1969, bertempat di Kampung Tok Kaya, Kuala Perlis.


Beliau yang merupakan anak ketiga daripada tiga adik beradik ini menjadi tambatan hati pasangan bahagia En Hashim bin Saad dan Pn Munah binti Desa.


Mendapat pendidikan awalnya di SK Padang Besar Selatan, seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah di SMK Derma, Kangar Perlis sehingga tingkatan lima. Setelah itu, beliau meneruskan pendidikannya di tingkatan enam di SMK Syed Alwi.


Lantaran minat yang mendalam dalam bidang perguruan, beliau seterusnya menyambung pengajian di Maktab Perguruan Batu Rakit, Terengganu dalam bidang Pengajian Melayu, sekitar tahun 1991.


Bermula dari sini, beliau mula melangkah dengan lebih yakin dan berani untuk menempuhi segala dugaan dan ujian dalam arena pendidikan yang penuh mencabar serta menimba ilmu dalam bidang pendidikan dengan penuh ketekunan.




Tanggal 6 Mac 1995, temetrailah ikatan hati pasangan sejoli Puan Salina Binti Hashim bersama pujaan hati, En Md Fazil bin Abdullah.


Mengecapi bahagia hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan 3 orang cahaya mata, iaitu 2 orang putra dan seorang puteri.


Putranya yang sulung telahpun berumahtangga dan kini kehadiran cucunda tercinta menambah seri keluarga ini. Didikan dan amalan untuk meraih kecemerlangan di sekolah, dipraktikkan semasa mendidik anak-anaknya sehingga masing-masing berjaya dalam bidang yang diceburi. Alhamdulillah, benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau.



Dari sudut perkhidmatan, beliau memulakan tugas sebagai seorang pendidik di SK Padang Besar Selatan pada 1 Disember 1993, yang juga merupakan sekolah rendah beliau ketika di tahun satu hingga tahun 6.


Setelah 11 tahun menabur bakti di situ, beliau meneruskan pula perkhidmatan di SK Seberang Ramai, Kuala Perlis bermula Januari 2004 sehingga Jun 2012.


Setelah itu, beliau telah bertukar ke SK Chuping bermula Jun 2012 sehingga kini. Tanpa disedari, hampir 12 tahun, beliau menyemai budi dan jasanya di SK Chuping ini. Pada 1 Mac 2024 nanti, genaplah 30 tahun 1 bulan beliau berkecimpung dalam dunia pendidikan. Beliau akhirnya memilih bersara secara pilihan pada usia 55 tahun.


Meneladani prinsip hidupnya, benarlah kata orang "genggam bara api biar sampai jadi abu", begitulah jua semangat yang dimiliki oleh Cikgu Salina yang berdedikasi dan besemangat tinggi dalam mendidik anak bangsa sehingga berjaya.


Beliau merupakan seorang yang tegas dan disegani oleh anak-anak muridnya. Namun disebalik ketegasannya, beliau disenangi kerana sifatnya yang ramah dan mengambil berat akan kebajikan dan pencapaian anak-anak didik kesayangannya.



Beliau yang sangat dihormati, disenangi dan disayangi warga SK Chuping ini, tiada ganti dan pasti akan dirindui. Sudah pasti kami akan merindui juadah enak air tangan beliau yang saban waktu kami nikmati. Patah tumbuh hilang berganti, namun tak sama dengan yang pergi.


Selamat tinggal suara-suara ceria, padang perhimpunan dan dewan perkasa, bilik darjah dan keletah anak-anak, bilik guru dan timbunan buku. Selamat tinggal anak-anak didik semua.


Tinggi bukit gilang-gemilang,

Air laut tenang-tenangan,

Budi sedikit tidakkan hilang,

la menjadi kenang-kenangan.


Begitulah ceritera kehidupan jua bingkisan budi dan bakti yang ditaburkan sepanjang perkhidmatan belia dalam dunia pendidikan amnya dan di Sekolah Kebangsaan Chuping khususnya.


Jasamu dikenang, budimu tidak terbilang.




[Teks ini disediakan oleh : Ticer Haziera Othman. Dibacakan pada jumaat 02 Feb 2024 ]


Ulasan

Catatan Popular