Puteriku segak ke sekolah
Hari
ini adalah hari ketiga puteri kami bersekolah di Taman Asuhan Kanak-kanak Islam
(Taski) Ummu Aiman Matri. Banyak perubahan berlaku padanya walaupun tidak
drastik. Apa yang pasti, setelah menjemputnya sekitar jam 2.15 petang, mulutnya
tak henti-henti menceritakan perjalanan persekolahannya. Walaupun susun atur
ayatnya terkadang tidak teratur, namun siapa saja yang mendengar celotehnya,
dapat memahami apa yang nak digambarkannya.
sarapan pagi
Semenjak
hari pertama lagi (malamnya), dia teruja untuk ke sekolah. Dia mudah bangun
pagi bila dikejutkan. Tiada lagi bahasa rengek merengek seperti sebelumnya.
Uminya akan persiapkan segala keperluan di malam harinya. Keesokan paginya
pula, uminya akan pakaikan uniform sekolah sambil membetulkan lipatan tudung di
kepalanya. “kakak mai sini, umi bubuh bedak…nanti kalau nak kencing, cakap
cikgu tau” begitulah bait nasihat umi yang sering aku dengar setiap pagi.
Biasanya pesanan itu tak habis di situ, bahkan akan diulang lagi bila dimuka
pintu sebelum menaiki kenderaan. Sesekali aku hanya gelengkan kepala, melihat
kerisauan isteriku. “Mungkin sifat semula jadi sebagai ibu kot noo” sahut aku
menyokong tindakan isteriku.
bersedia ke sekolah
Perjalanan
sejauh 6km ke Matri, mengambil masa 15 minit dari rumah, menjadikan aku
terpaksa bertolak seawal 7.00 pagi. Ianya bagi megelak kesesakan lalu lintas
yang berlaku di hadapan Sekolah Menengah Seri Tunjung yang terletak berhampiran
dengan kawasan perkampungan Matri. Jika ‘pengurusan masa’ ini berjalan seperti
yang dirancang, maka aku akan sampai ke SKS pada jam 7.30 pagi. Begitulah
‘schedule’ setiap hari.
Biasanya sekitar 2.15 petang barulah aku menjemputnya. “Kakak
dah solat? hari ni kakak belajar apa?” soalku sebelum meninggalkan perkarangan
sekolah. “dah... cikgu ajar matahari, cikgu kata Allah jadikan matahari...
kakak belaja alif ba ta dengan pegang pensil dengan platesyen (plasticiene)”
terang hilya dengan bersungguh-sungguh. Begitulah setiap hari, ada saja cerita
baru.
'bye kawan-kawan'
Menurut
guru-guru Taski Ummu Aiman, bulan januari adalah bulan persediaan. Persediaan
asas sebelum memulakan pembelajaran formal pada februari. Aktiviti-aktiviti
berbentuk ‘pre-learning’ ‘pre-sensor’ ‘pre-writing’ ‘pre-reading’ adalah
perkara yang ditekankan pada bulan pertama.
“Aktiviti-aktiviti ini bertujuan mengesan dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak-anak tuan,
supaya kita sama-sama boleh bertindak dan membantu menyelesaikan masalah
anak-anak tuan” tegas ustazah Yati dalam satu taklimat waris.
‘Awal
belajar mengenal Allah’ adalah moto Taski Ummu Aiman. Ciri pembelajaran berteraskan ‘tauhid’ dalam setiap subjek
adalah tunjang ‘kekuatan’ Taski Ummu Aiman. Tidak hairanlah, mengapa Taski Ummu
Aiman menjadi perhatian kebanyakan ibu bapa yang menitik beratkan soal ‘tarbiah’
untuk anak-anak mereka. Semoga usaha mereka berjaya dalam melahirkan generasi
iman dan amal.
Ulasan
Catat Ulasan