Jika memerintah, PAS jamin beri keadilan untuk semua
Dzulfikar Mashoor Fri | Sep 18, 09 | 11:32:50 am MYT | |
TELOK KEMANG, 18 Sept: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam memberi jaminan bahawa PAS berdiri atas prinsip keadilan Islam akan terus memelihara hak semua rakyat, tanpa mengira bangsa, kepercayaan dan status sosial. "Islam memberi hak kepada orang Islam dan bukan Islam. Sesuatu yang tidak dilarang oleh agama lain, jika PAS memerintah, maka PAS tidak akan haramkan," katanya. "Tetapi, seperti babi, arak, rasuah, maksiat yang ditegah ke atas orang-orang Islam, maka tidak boleh dijual kepada orang Islam. PAS mahu mendidik umat Islam supaya menjauhinya," katanya lagi. Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut menyentuh isu bantahan pemindahan kuil ke Seksyen 23; dan kes pemindahan kandang babi yang dipercayai khalayak sebelum ini didalangi Umno. ![]() Tegasnya lagi, apa yang dilakukan PAS bertepatan dengan ayat al-Quran, Surah an-Nisa' ayat 58. Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kami menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkannya secara adil. ![]() "Dalam beberapa pilihan raya kecil lepas, Umno lihat PAS terus mendapat sokongan orang Melayu, Cina dan India. Akhirnya, mereka terdesak dan Najib terpaksa isytihar Umno juga parti (pelaksana) Islam (seperti PAS). "Politik Islam yang diperkenalkan PAS mengajak manusia jadi baik. Politik yang ditegakkan Pakatan Rakyat mahu tolak apa juga kezaliman, rasuah dan penyelewengan. Itulah yang Umno bimbang, itulah yang rakyat lihat,"tegasnya. Turut menyertai majlis itu, Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook serta beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang lain. Majlis yang disertai lebih 500 sukarelawan PAS tempatan itu berakhir dengan perlancaran portal rasmi Bagan Pinang. Dalam perkembangan berkaitan, PAS serta Pakatan Rakyat dijangka mengumumkan calon mereka pada 29 September depan. Selain berdepan dengan parti perkauman Umno, PAS dijangka berdepan calon bebas Shahruddin Abdul Hamid yang mahu membangunkan aktiviti pelancongan setempat. - mks. _ |
Ulasan
Catat Ulasan